Selamat datang ke Galeri Seni Kakak. Tempat untuk kakak letak hasil kerja akak untuk tatapan nenek dan semua makcik-makcik..
RSS

Thursday, April 2, 2009

Pantun Nasihat

*Nenek mencipta pantun ini untuk tatapan anak cucu nenek. Nenek harap pantun nenek akan dijadikan panduan kepada cucu-cucu nenek. Nenek tahu banyak lagi perkara yang boleh dibicarakan. Tapi.. kalian boleh pelajari di sekolah...


PANTUN KANAK-KANAK
(Pantun Nasihat)


1.
Buah ciku berbau wangi,
Mari dibelah untuk tetamu,
Wahai cucu yang disayangi,
Sayangilah kedua ibu bapamu,

2.
Pokok semalu tumbuh di pangkal,
Tumbuhnya banyak nun di sana,
Jangan selalu membuat nakal,
Jadilah anak yang berguna.

3.
Pokok menjalar tepi perigi,
Tumbuh sekali di tepi taman,
Rajin belajar rajin mengaji,
Kelak menjadi anak beriman.

4.
En Dollah sedang berpuasa,
Berlapar dahaga sepanjang hari,
Ingatkan Allah setiap masa,
Jadilah manusia yang kenal diri.

5.
Pasang pelita di malam raya,
Mari letak di atas batu,
Allah mencipta kita manusia,
Bersyukur kita pada yang satu.

6.
Buah kelapa diparut lumat,
Mari dicampur dalam makanan,
Nabi kita nabi Muhammad,
Dia rasul di akhir zaman.

7.
Nampak berbayang tak tau siapa,
Bila terserlah barulah tahu,
Belajar sembahyang jangan dilupa,
Menyembah Allah tuhan yang satu.

8.
Buah kelapa buah rambutan,
Ditambah pula buah langsat,
Berpuasa kita di bulan Ramadhan,
Berlapar dahaga tandanya taat.

9.
Buah delima untuk siapa,
Nampak merekah di bawah lampu,
Rukun kelima jangan dilupa,
Pergi ke Mekah bila dah mampu.

10.
Bunga siantan sidaun pandan,
Mari ditaruh di tepi hidangan,
Kitab Al Quran jadi panduan,
Ikut disuruh dilarang jangan.

11.
Indah serambi dibina bapa,
Tempat tumpuan mengisi masa,
Hadith nabi jangan dilupa,
Jadikan panduan sepanjang masa.

12.
Ikan mati terkena sengat,
Sengatan haruan sangatlah bisa,
Hidup mesti sentiasa beringat,
Kelak kita akan binasa.

13.
Pergi ke Melaka di bulan puasa,
Naik kereta bersama Nona,
Janganlah suka membuat dosa,
Malaikat ada di mana-mana.

14.
Buah peria pahit dimakan,
Sedap lagi buah kedondong,
Nasib kita sudah ditentukan,
Sejak diperut ibu mengandung.

15.
Mari meraut si daun pandan,
tengok di sana dara berenam,
Ajal dan maut sudah ditentukan,
Di tempat mana kita ditanam.

16.
Mari menoreh di atas papan,
Mari ukirkan sebuah gambaran,
Anak yang solleh ibu harapkan,
Dapat mendoakan ibu di kuburan.

17
Buah pala di atas para,
Untuk dicampur penyedap rasa,
Dosa dan pahala diambil kira,
Takutkan Allah setiap masa.

18.
Pohon rumbia di tepi hutan,
Letak di tepi di hujung pekan,
Jadilah hamba yang tahu tujuan,
Setelah mati akan dihidupkan.

19.
Pokok menjalar nampak biasa,
Dibuat jamu bersama peria,
Rajin belajar setiap masa,
Pasti kamu akan berjaya.

20.
Buah salak sedapnya rasa,
Diambil dari kebun Pak Karma,
Nanti kelak bila dewasa,
Akan menjadi orang ternama.

-tamat-

Cerpen Nenek - Malam dan Siang

*Atas permintaan Amir, Ariff dan Afiq, nenek ingin meninggalkan beberapa kisah dan cerita kanak-kanak untuk tatapan mereka setelah pandai membaca nanti. Kalau tidak pun untuk dijadikan bahan bacaan di kalangan cucu-cicit nenek nanti, insya-Allah.


14. MALAM DAN SIANG

Allah menjadikan malam dan siang. Malam untuk manusia berehat dan siang untuk manusia keluar mencari rezeki. Allah maha kaya. Allah menjadikan malam dan siang silih berganti. Allah membuat malam dan siang tepat pada waktunya dan tidak berubah sedikitpun. Ini akan terus berlanjutan sehingga hari kiamat tiba.

***************

Suasana malam gelap gelita. Tiada cahaya matahari yang menyinar. Kalau ada pun sinaran bulan yang agak malap. Langit juga menjadi indah dengan kerdipan bintang-bintang yang bertaburan. Ya bertaburan seperti berlian yang bercahaya indah. Siapakah yang mampu mencipta ciptaan seindah ini?? Sudah tentu hanya Allah sahaja yang mampu mewujudkannya dan memelihara pusingannya.

****************

Siang pula terang menderang dengan pancaran matahari. Matahari terbit dari sebelah timur. Matahari terbit pada waktu pagi. Sebelum matahari terbit, fajar akan menyingsing. Nun di timur sudah nampak cahaya terang yang terpancar ke arah langit. Dari mana datangnya cahaya itu?? Akhirnya matahari menampakkan dirinya. Pagi nan indah bermula. Manusia patut sudah bangun sejak fajar lagi untuk mendirikan solat subuh. Matahari akhirnya akan terbenam di sebelah barat?? Ke mana matahari pergi agaknya???

***************

Pada waktu siang ini, anak-anak akan ke sekolah untuk belajar. Ibu ayah akan ke tempat kerja mencari rezeki. Haiwan juga bertaburan mencari makanan. Burung-burung mulai berkicauan apabila matahari akan terbit. Mereka akan berterbangan ke merata tempat untuk mencari makan. sebelum matahari terbenam semua haiwan akan pulang ke kandangnya. Burung akan pulang ke sarangnya. Itik juga akan pulang setelah petang ke rebannya. Alangkah indah perlakuan manusia dan haiwan ini.

***************

Siapa yang mengaturnya?? Tentulah Allah seru sekalian alam. Allah yang maha bijak lagi pencipta. Allah yang maha pengasih dan maha penyang. Allah yang maha agung dan maha besar. Engkaulah yang memiliki segala yang ada di alam ini. Kau mencipkan manusia. Kaulah yang mencipkan haiwan yang melata. Kau juga mencipta pohon-pohon yang menghijau. Kau yang menurunkan hujan yang menghidupkan semua yang ada di alam ini. Ini perlu kita syukuri!!!
**************

-tamat-

Cerpen Nenek - Cerita Nabi-nabi

*Atas permintaan Amir, Ariff dan Afiq, nenek ingin meninggalkan beberapa kisah dan cerita kanak-kanak untuk tatapan mereka setelah pandai membaca nanti. Kalau tidak pun untuk dijadikan bahan bacaan di kalangan cucu-cicit nenek nanti, insya-Allah.


13. CERITA NABI-NABI

Nenek mempunyai banyak koleksi buku-buku cerita nabi. Buku cerita nabi nenek beli di kedai buku. Ada 25 buah buku kecil selain 10 buah buku besar. Semua buku-buku nenek ada gambar-gambar yang berwarna warni. Kami suka mendengar cerita nabi dalam buku yang nenek beli. Selain itu nenek ada juga ada buku tebal yang mengandungi cerita nabi dalam Al-Quran. Buku kesah nabi yang tebal dan sukar dibaca. Tapi nenek sering membacakan untuk kami.

******************

Banyak cerita nabi yang nenek ceritakan. Yang paling menarik dan panjang kesahnya ialah tentang kesah nabi kesayangan kita Nabi Muhamad saw. Nenek bercerita secara bersambung dari cerita nabi sebelum dilahirkan sehinggalah nabi berjaya pulang semula ke Mekah dan berjaya dalam beberapa siri peperangan dengan kaum kafir. Bahagian yang paling menyedihkan ialah peristiwa pemulauan kaum Quraish kepada nabi selepas kewafatan pakciknya Abu Talib.

******************

Bahagian yang paling menggembirakan ialah bahagian Nabi berjaya dalam peperangannya. Cerita ajaib pula ialah kesah nabi pegi ke langit untuk menerima perintah bersembahyang. Cerita menjadi suspense ketika rumah nabi dikepung oleh pemuda-pemuda pelbagai kaum Arab. Bagiamana cerita ular, cicak, labah-labah, burung merpati dan memgkarung sewaktu nabi menyorok di gua Hira'. Besarnya kekekuasaan Allah yang telah menolong nabi kita Muhamad saw.

******************

Nenek juga bercerita tentang 24 nabi lagi. Antaranya kisah nabi Isa dan ibunya Mariam, Kesah nabi Musa dan Firaun, Kisah nabi Yusuf dan Zulaikah, Nabi Sulaiman dan puteri Balkis, Nabi Luth dan malaikat, Nabi Adam dan Hawa, Kesah Qabil dan Habil, kisah Nabi Yunus dan ikan Nun, Nabi Nuh dan bahteranya serta nabi Luth dengan kaumnya. Banyak sungguh kesah nabi-nabi terdahulu yang nenek cerita kepada kami. Kami amat gemar mendengar cerita-cerita ini. Kadang-kadang kami seolah-seolah memaksa nenek untuk bercerita.

******************

Banyak pengajaran yang kami dapat dari cerita nenek itu. Banyak kebesaran Allah yang kita patut kagumi. Bagaimana kehebatan nabi Sulaiman memahami bahasa haiwan dan boleh menundukkan jin adalah amat hebat. Kisah kemungkaran kaum dahulu sehingga Allah menghukum mereka seperti isteri dan anak-anak nabi Nuh yang tidak mahu mengikut ajaran Nabi Nuh. Kesah bagaimana nabi Yunus yang masih hidup walaupun berada di perut ikan. Bukankah ini petanda kekuasaan Allah??

*****************

Nenek akan terus bercerita.Nenek patut terus bercerita tentang nabi-nabi kita. Sebagai orang Islam, kita perlu percaya kepada nabi dan Rasul Allah. Mereka dilantik dan menerima wahyu dari Allah supaya memberi peringatan kepada manusia. Manusia perlu beriman kepada Allah swt. Allahlah yang menciptakan alam ini. Allah mencipta bumi. Allah mencipta manusia. Allah juga yang mencipta haiwan dan pepohon yang ada di bumi. Moga kami menjadi manusia beriman. Amin!!!!

****************

-Tamat-

Cerpen Nenek - Pertandingan Memanjat Pokok

*Atas permintaan Amir, Ariff dan Afiq, nenek ingin meninggalkan beberapa kisah dan cerita kanak-kanak untuk tatapan mereka setelah pandai membaca nanti. Kalau tidak pun untuk dijadikan bahan bacaan di kalangan cucu-cicit nenek nanti, insya-Allah.


12. PERTANDINGAN MEMANJAT POKOK

Hari ini hari Sabtu. Kami tidak bersekolah. Mama dan ayah juga tidak bekerja. Nenek sibuk di taman menyiram pokok bunga. Nenek juga mencabut rumput di pasu bunga nenek. Kami melihat nenek membuat kerja di taman. Kami menolong nenek menyapu sampah dan mencabut rumput.

*********************

Setelah siap di bahagian belakang, nenek mula menyapu di bahagian hadapan. Di hadapan rumah nenek terdapat sepohon rambutan yabg bercabang rendah. Di pokok inilah nenek selalu mengalakkan kami belajar memanjat pokok. Nenek kata budak lelaki mesti pandai memanjat. Kami berlima telah cuba memanjat. Nenek memberi semangat dan nenek bernjanji untuk memberi hadiah kepada yang menang.

*********************

Nenek telah membuat demontrasi dan tunjukcara terlebih dahulu. Nenek memang pandai memanjat kerana sewaktu kecil nenek sering memanjat pokok jambu hijau, jambu bol dan pokok kelapa yang sudah mereng. Nenek selalu menjual hasil jambu di sekolah. Kelapa pula nenek guna untuk memasak lemak atau gulai ayam yang om onyang sembelih.

********************

Nenek mahu cucu-cucu nenek juga menjadi orang yang berani dan serba boleh. Kami terus cuba memanjat. Amir dan Arif agak gerun pada awalnya menjadi lebih berani. Afiq memang berani tetapi nenek melarang kerana usianya yang masih kecil. Alia sebagai cucu perempuan pun mencuba walaupun sekadar cabang pertama sahaja.

********************

Setelah pertandingan berakhir, nenek memberi hadiah untuk semua. Nenek membelikan aiskrim untuk kami. Nenek bangga kerana cucu nenek sudah berani memanjat. Latihan memanjat perlu dibuat lagi. Memang betul kepandaian dan kemahiran memanjat telah Amir dan Arif gunakan sewaktu motor pintu pagar rosak. Mereka berjaya memanjat pagar untuk menanti van Pak Wan yang sampai.Alhamdulillah. Kalau tidak tentu mereka terpaksa ponteng sekolah hari itu.

*******************

-tamat-