Pantun nenek untuk cucu-cucu kesayanganye
(Amir)
Nampak kasar sibunga kertas,
bersepahan ia di atas kotak,
Giginya besar di bahagian atas,
Ada yang hitam kerana rosak.
Mari minum sirap yang manis,
makan pulut bercicah kari,
Bila tersenyum nampak manis,
Buka mulut rasa nak lari.
Duduk mengiring di tepi tangga,
Menunggu giliran untuk ke perigi,
Suara nyaring bingit telinga,
Bila menangis apatah lagi.
Cantik sungguh si tuan puteri,
tujuh beradik sering tergelak,
Belajar bersungguh sepenuh hati,
Tanda cerdik dah besar kelak.
Duduk melopong nampak pelik,
Ketawa terkekek sampai semput.
Gemar menolong mama dan nenek,
menjaga adik dan mencabut rumput.
(Arif)
Banyak nyamuk yang sudah berdarah,
Pukul seekor bertambah pula,
Suka mengamok bila marah,
Susah nak tegur degil pula.
Nampak ketam di dalam kotak,
Masak gulai dicampur tairu,
Giginya hitam tanda dah rosak,
Entah bila tumbuh yang baru.
Nampak sang bulan di langit biru,
Terbit bila terbenam matahari,
Semua soalan jawab tak tau,
Senanglah dia melepas diri.
Daun turi selalu dicantas,
masak nangka campur kuini,
Pandai menari di atas pentas,
Semua tak sangka si dia ini.
Tamat sudah waktu berkelah,
Penat sungguh lepas berenang,
Tidak mudah mengaku kalah,
Kalau bergaduh mesti nak menang.
(Afiq)
Pasang belat mesti cekap.
Baru mahu ikan menggena,
Lidah pelat bila bercakap,
Tapi tak malu untuk bercerita.
Nasi goreng baru dibuat,
Sedap sungguh seenak rasa,
Badan keding tapi kuat,
Pasal bergaduh serah kat dia.
Mari naik ke atas kapal,
Terus buka semua lampu,
Depan baik belakang nakal,
Sangat suka bila diampu.
Datang si dia dijamu keledek,
Keledek ditanam di rumah adik,
Sekarang dia sudah cerdik,
Menolong nenek menjaga adik.
Naik beca di negeri Perlis,
Beca baru atas terbuka,
Rajin belajar baca dan menulis,
Walau baru masuk tadika.
(Alia)
Masak lemang di tepi paya,
Kalau panas pakai terendak,
Menangis memang hobi dia,
Walau dipujuk berhenti tidak.
Tangkap ikan di dalam parit,
Masak lemak bercampur lada,
Menangis bukan kerana sakit,
Menangis dia sekadar mengada.
Masak lemak sayur pegaga,
Sedap dicampur daun keledek,
Naik lemak lebih mengada,
Bila mak dan ayah dah balik.
Burung pipit sedang mengeram,
Jelas nampak di pohon mangga,
Rasa nak cubit sebab geram,
Pakkal mak dan bapak dia dah ada.
Kacang panjang buah petola,
dicampur dengan sayur melati,
Rambut panjang dan lebat pula,
Cantik ditocang nampak jelita.
(Aqil)
Ambil sekepal daun keledek,
Dimasak kari dengan jagung,
Badan gempal nampak pendek,
Bila berlari bergoyang punggung.
Boleh dipakai si kapur barus,
Ditumbuk halus bersama kuini,
Cakap tak pandai bertindak terus,
Tanda genius si budak ini.
Tanam petola di tepi kali,
Berbuah lebat di hujung sana,
Menendang bola hebat sekali,
Gaya lebih tak kuat mana.
Masak peria di tepi pantai,
Cuba dijual tapi tak laku,
Berjoget dia memang tak pandai,
Cuba buat tetapi kaku.
Bunga kiambang si pohon asem,
ditanam depan rumah cik nyonya,
Hidung kembang tapi hensem,
Seiras dengan rupa ayahnya.
(Qays)
Kain putih di atas loteng,
Untuk menampal seluar adik,
Kulit putih rambut kerinting,
Badannya gempal nampak pendek.
Buat begedel dicampur sagu,
Untuk makanan orang di sana,
Suka membebel setiap waktu,
Satu perkataan pun tak ada makna.
Pokok renek tumbuh melata,
Dibuat ulam bersama kari,
Sayang nenek tidak terkira,
Bila ternampak terus berlari.
Pergi ke kedai membeli tahu,
Tahu dimasak di rumah jiran,
Selalu menyoal tanda tak tahu,
Ha ha ha selalu kedengaran.
Bunga cempaka di atas peran,
Disimpan pula belakang kuali,
Mendengar cerita suatu kegemaran,
Perlu diulang berkali-kali.
(Dani)
Buah ranum memang manis,
Mari dimakan di dalam puan,
Sering tersenyum kelihatan manis,
Tersilap pandang dikata perempuan.
Pergi ke pekan membeli tali,
Tali sabut pengikat kapak,
Silap makan jangan sekali,
Kelak semput susah mak bapak.
Di tepi kolah terdapat tali,
Untuk menambat kayu di galah,
Pergi sekolah liat sekali,
Tidur lambat siapa yang salah.
Bermain layang bertali guni,
di sawah padi dan lapang pula,
Menonton wayang kegemaran Dani,
Muga tak jadi kaki wayang pula.
Pergi berjanjen di rumah cik Wok,
Suaranya merdu sedap sekali,
Sekarang dah rajin membuat homework,
Ayah tak perlu nak tolong lagi.
(Nurul)
Masak bertih di tepi kali,
Sambil minum tersenyum-senyum,
Kulit putih cantik sekali,
Bila tersenyum terkulum-kulum.
Pokok pakis di tepi jalan,
Pokok pandan di tepi kali,
Pandai melukis semua gambaran,
Cantik dipandang berkali-kali.
Senyum simpul dari si puteri,
Tidak mabuk walau berlari,
Lukisan dikumpul disimpan rapi,
Ada blog boleh dilayari.
Untuk memetik begitu payah,
Jatuh ke bawah sampai basah,
Sayang adik, ibu dan ayah,
Nak berpisah cukup susah.
Masak tumis dalam kuali,
Rebus telur sebiji lagi,
Kalau menangis lama sekali,
Dah bangun tidur boleh sambung lagi.
(Aqilah)
Kain putih disarung che Anis,
Mari dibawa ke tepi perigi,
Kulitnya putih mukanya manis,
Bila ketawa ternampak gigi.
Tanam kesum di tepi kali,
Buah manggis ditimbang kati,
Kalau tersenyum manis sekali,
Sekali menangis susah berhenti.
Naik perahu pergi ke kuala,
Jangan keluar waktu belayar,
Pakai baju dia suka,
Tapi seluar jarang nak pakai.
Periok kera di atas para,
sayur kangkung dan juga terung,
Kalau gembira dia ketawa,
Minta dukung tak mau turun.
Buat kerisik di atas dapur,
Cukup empuk dicampur tepung,
Jangan diusik jagan ditegur,
Takut mengamuk riuh sekampung.
(Ayra)
Buah kuini tinggal sedikit,
Lobak putih jangan dimasak,
Si cilik ini kerap sakit,
Lepas bertih cirit pulak.
Kacang panjang mudah tumbuh,
Lobak merah payah sekali,
Cirit yang panjang tak sembuh-sembuh,
Punggung merah sakit sekali.
Bina parit di tepi kuala,
Tanam papaya di hari selasa,
Sembuh cirit demam selsema pula,
Bila agaknya dapat tidur selesa?
Bunga raya si bunga kertas,
Jangan harap boleh disimpan,
Memang Ayra budak tangkas,
Dah meniarap dan gerak ke depan.
Masak kari dan sambal udang,
Buat rojak campur peria,
Boleh berdiri bila dipegang,
Melonjak-lonjak sangat gembira.
(Hana)
Lihat di sana si buah terung,
Pucuk pakis si daun selom,
Montelnya Hana bila ditenung,
Mukanya manis bila tersenyum.
Makan cekodok sambil bersandar,
Daun betik jangan dibakar,
Badannya montok mukanya bundar,
Hidung cantik walaupun mekar.
Tepung gomok sedap dirasa,
Jangan makan sambil berdiri,
Suka mengamok bila tak selesa,
Pantang ditinggal seorang diri.
Ikan kembung si ikan pari,
Mari dimasak jangan tawar,
Perut kembung setiap hari,
Minyak telon jadi penawar.
Membeli kerang di dalam pasar,
Jangan lupa membeli asam,
Tentu sekarang sudahla besar,
Bila jumpa pasti tak cam.
(Penutup)
Pergi belanja di kedai Tok nek,
Beli susu dan serai wangi,
Sekian sahaja pantun nenek,
Perihal cucu yang dikasihi.
Ikan kekek si ikan keli,
Di dalam baldi di rumah cina,
Harapan nenek besar sekali,
Kalian menjadi orang berguna.
Program Cuti Sekolah Dec 2013
11 years ago
0 comments:
Post a Comment